Alias Rasman

ISKANDAR PUTERI – Ketua Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu Johor, Alias Rasman menyifatkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kali ini bosan dan gila.

Beliau mendakwa, ini kerana sesi soal jawab dan perbahasan kali ini dilihat lebih satu hala malah ucapan serta jawapan Exco kerajaan negeri seperti pembentangan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing sebelum pilihan raya.

“Saya cadangkan sidang DUN lebih demokrasi dengan membenarkan reformasi seperti pencerahan semasa perbahasan, bukan perbahasan sehala mengikut skrip semata-mata.

“Kalau kita perhatikan sistem Parlimen kita mengikut sistem Parlimen Westminster. Dalam sidang DUN Johor pencerahan tidak dibenarkan.

“Sedangkan sidang DUN adalah ruang demokrasi untuk ADUN yang dipilih rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang bercakap.

“Dalam DUN semua ADUN perlu bersuara,” katanya dalam sidang akhbar semasa sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini semalam.

Turut hadir Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal; Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz dan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Syafiq Aziz.

Katanya, dalam persidangan DUN kali ini setiap ADUN hanya diberi 15 minit setiap seorang untuk sesi perbahasan dan masa tersebut tidak cukup.

“Sidang DUN bukan sekadar nak dengar pujian semata-mata tetapi nak bawa isu rakyat ke peringkat lebih tertinggi, kalau kita tengok hari ini jawapan ADUN semua sudah diskripkan.

“Rakyat tidak makan video, tidak makan hantaran dalam Facebook. Rakyat nak tindakan cepat dan (keputusan) muktamad,” ujar beliau.

Sidang DUN kali ini diadakan selama lima hari bermula Khamis lalu dan berakhir hari ini yang akan menyaksikan pembentangan rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan berhubung cadangan pelantikan lima ADUN.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast