KUALA LUMPUR – Seramai 27 warga China dan seorang warga Vietnam ditahan di sebuah rumah di Bandar Sri Indah, Tawau selepas disyaki menjalankan sindiket aktiviti penipuan pelaburan stok secara atas talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kesemua mereka ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Tawau, Strike Team Balai Polis Tawau dan Task Force Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
“Sindiket ini dipercayai telah masuk ke Sabah dan menjalankan aktiviti penipuan pelaburan stok secara atas talian menggunakan beberapa platform aplikasi komunikasi pesanan segera dan menyasarkan warganegara Korea,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, kesemua yang ditahan berumur antara 21 hingga 51 tahun.
“Lokasi yang diserbu adalah kediaman yang dijadikan tempat tinggal dan rehat, tempat kerja dan tempat latihan untuk menjalankan sindiket,” katanya lagi.
Jasmin berkata, ketika serbuan polis turut merampas 33 unit telefon bimbit, tiga set komputer riba dan dua set modem internet dengan nilai rampasan kira-kira RM50,000.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti peranan suspek-suspek yang ditahan, rangkaian sindiket, jumlah sebenar mangsa berserta kerugian dan sebagainya.
“Sehubungan kes ini, saya menyeru masyarakat di daerah ini agar bersama-sama pihak polis untuk memerangi ‘scammer’ sekurang-kurangnya dengan tidak menjadi mangsa dan sentiasa berhati-hati dan sentiasa berfikir serta bertanya dengan pihak berkenaan sebelum menjalankan apa-apa transaksi berkaitan kewangan,” katanya lagi.
Menurutnya, semua suspek yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan direman bermula hari ini. – MalaysiaGazette
















