KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan cedera ringan selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira lapan meter berdekatan Restoran Damai Bistro di Taman Pinggiran Batu Caves, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.43 petang.
“Susulan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bersama sebuah jentera FRT dikejarkan ke lokasi kejadian dengan jarak kira-kira enam kilometer.
“Komander Operasi memaklumkan terdapat seorang lelaki berumur 40 tahun telah terjatuh ke dalam longkang dan mangsa mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa kemudian telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette
















