Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Annuar Musa menegaskan setiap titah yang diperkenankan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah wajib dijunjung, dihormati dan dipatuhi oleh seluruh rakyat termasuk pimpinan kerajaan di semua peringkat.

Menurut beliau, institusi istana merupakan tunjang kedaulatan negara dan payung kepada keharmonian rakyat yang tidak boleh dipandang ringan apatah lagi dicabar secara terbuka.

“Institusi istana merupakan tunjang kedaulatan negara dan payung kepada keharmonian rakyat. Justeru, setiap titah yang diperkenankan Sultan Selangor wajib dijunjung, dihormati dan dipatuhi oleh seluruh rakyat termasuk pimpinan kerajaan di semua peringkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Annuar berkata, dalam isu cadangan pembukaan kandang babi di Selangor, rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa Sultan Selangor telah bertitah supaya tiada sebarang pembukaan kandang babi baharu dibenarkan di mana-mana kawasan dalam negeri itu.

Namun katanya, amat mendukacitakan apabila masih wujud pihak tertentu yang dilihat cuba mempertikai atau tidak memahami maksud sebenar titah berkenaan sehingga memaksa baginda mengeluarkan penegasan terakhir atau ‘full stop’.

“Keadaan ini akhirnya menyebabkan Tuanku terpaksa mengeluarkan penegasan terakhir atau ‘full stop’ bagi memperlihatkan pendirian baginda yang jelas dan tegas bahawa Selangor tidak memerlukan pembukaan kandang babi di mana-mana bahagian di dalam Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata, Sultan Selangor pastinya memahami realiti negeri itu yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, sensitiviti masyarakat pelbagai serta risiko pencemaran alam sekitar yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, pendekatan mendapatkan sumber protein daripada negeri atau negara lain juga dilihat lebih selamat dan lestari demi menjaga kesihatan awam, kebersihan alam sekitar serta keharmonian sosial, selain Selangor lebih wajar menjadi pusat industri moden dan lestari yang memberi manfaat kepada rakyat serta negara.

“Perikatan Nasional amat terkilan dan kesal melihat seolah-olah wujud desakan berterusan mereka yang memiliki kuasa untuk tetap membuka kandang babi walaupun pendirian Tuanku telah dizahirkan dengan begitu jelas. Persoalannya, kepentingan siapa yang sedang mereka utamakan?” katanya.

Semalam, Sultan Selangor kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu selepas mengambil kira pelbagai implikasi termasuk risiko pencemaran terhadap tanah, udara serta sumber air melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast