KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup keluar kira-kira 4,000 liter petrol dipercayai ke Filipina berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kudat, Sabah semalam.
Pengarah Ibu Pejabat Maritim Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, sebuah bot tanpa nombor pendaftaran dikesan sedang bergerak di 1.5 batu nautika timur laut Pulau Linggisan dalam keadaan mencurigakan.
“Kemudian bot berkenaan berjaya dipintas oleh bot ronda Maritim Malaysia namun kru bot berkenaan bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit, pasukan menemukan beberapa tong drum berisi petrol yang dianggarkan berjumlah kira-kira 4,000 liter dan dipercayai cuba diseludup ke Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, bot serta muatan yang dirampas telah dibawa ke jeti Lembaga Bandaran Kudat untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan membawa barang kawalan tanpa permit atau dokumen sah.
Tegas Hasbullah, Maritim Malaysia akan terus memperketat kawalan dan rondaan keselamatan di perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta jenayah rentas sempadan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta menyalurkannya ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Kudat di talian 088-611858 bagi tindakan segera,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















