KUALA LUMPUR – Kenyataan bahawa kerusi Parlimen Tambun kini tidak lagi dianggap selamat mencetuskan persoalan besar terhadap masa depan politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Penganalisis politik veteran, Datuk A Kadir Jasin berkata, situasi itu memberi gambaran membimbangkan terhadap kedudukan parti berkenaan sekiranya kerusi yang disandang Perdana Menteri sendiri berada dalam kategori marginal.
Menurut beliau, kedudukan kerusi tersebut menimbulkan persoalan lebih besar mengenai peluang PKR mengekalkan pengaruhnya dalam pilihan raya akan datang.
“Kalau kerusi Parlimen Tambun yang disandang oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pun tidak selamat lagi, apakah harapan PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-16 nanti?
“Sehingga awal Mei tahun ini, kerusi Perak itu tidak lagi dianggap selamat, sebaliknya telah dikategorikan sebagai “tier 2B” iaitu marginal,” katanya.
Kerusi Parlimen Tambun dimenangi Anwar pada PRU-15 dengan majoriti tipis 3,735 undi, sekali gus menandakan kemenangan pertama beliau di Perak selepas sebelum ini pernah memenangi Permatang Pauh dan Port Dickson.
Bagaimanapun, perkembangan terkini yang mengklasifikasikan Tambun sebagai kerusi marginal dilihat sebagai petunjuk awal perubahan sentimen pengundi terhadap kepimpinan beliau dan parti.
Pemerhatian itu turut mencetuskan persoalan mengenai keupayaan PKR dalam mengekalkan kerusi-kerusi tradisinya sekiranya trend penurunan sokongan terus berlaku.
“Kalau PKR sendiri mengakui yang sokongan pengundi kepadanya semakin menurun, ke manakah para pemimpin atasannya hendak pergi untuk mencari kerusi selamat?” soal beliau lagi.
Dalam masa sama, situasi tersebut juga dilihat memberi kesan kepada kekuatan gabungan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU-16.
Kadir juga berpendapat, status kerusi Tambun sebagai marginal boleh menjadi indikator awal pertembungan sengit dalam pilihan raya akan datang, sekali gus membuka ruang kepada persaingan lebih terbuka antara parti-parti utama negara.
“Keyakinan beliau (Anwar) iaitu di mana pun beliau bertanding, beliau boleh menang. Pada waktu itu pun, menurut laporan media yang memetik bekas Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli, Tambun bukanlah selamat sangat.
“Hari ini, kalau PKR sendiri berkata Tambun tidak selamat lagi dan sudah menjadi kerusi marginal, maksudnya sesuatu yang tidak baik dan luar biasa telah berlaku sejak lebih sikit tiga tahun Anwar menerajui negara,” katanya lagi.
Sebelum ini, tular satu analisis bertajuk “Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier” yang membahagikan 66 kerusi tersebut dengan tujuh kerusi diletakkan dalam Tier 1 (kuat/selamat), 13 kerusi di Tier 2A (hampir kuat), 17 kerusi di Tier 2B (marginal/kompetitif), dan 29 kerusi sebagai Tier 3 (sukar/recovery).
Kerusi Parlimen Tambun yang disandang oleh Anwar diklasifikasikan sebagai kawasan “Tier 2B” atau kerusi marginal adalah satu tamparan realiti. – MalaysiaGazette
















