SHAH ALAM – Seorang murid tahun enam meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang semalam selepas pengsan ketika sedang mengikuti perhimpunan di sebuah sekolah di Kapar.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata mangsa berusia 12 tahun disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan selepas dibawa untuk mendapatkan rawatan.
“Mangsa dilaporkan pengsan kira-kira 8.30 pagi ketika perhimpunan di sekolah terbabit sebelum dibawa ke HTAR untuk mendapatkan rawatan. Mangsa bagaimanapun kemudiannya disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Vijaya Rao berkata hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan berhubung kejadian itu.
“Setakat ini punca kematian belum dapat disahkan kerana masih menunggu laporan lengkap makmal dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.
— BERNAMA














