Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Generasi muda digesa supaya menolak politik perkauman sempit dan bangkit sebagai kekuatan baharu dalam mendepani cabaran negara secara bersama tanpa mengira kaum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun kaum Melayu merupakan majoriti penduduk, Malaysia kekal sebagai negara berbilang kaum yang memerlukan semangat perpaduan yang lebih kukuh khususnya dalam kalangan anak muda.

Jelasnya, perkara itu sering ditekankan dalam sesi dialog bersama mahasiswa di kampus sebagai usaha memupuk kesedaran tentang kepentingan perpaduan nasional.

“Selalu saya tekankan bahawa masa depan negara bergantung kepada kesediaan anak muda menolak tembok perkauman sempit yang diwarisi daripada generasi terdahulu dalam politik sempit.

“Sebaliknya, mereka perlu bangkit sebagai satu kekuatan baharu dengan memperkukuh semangat bahawa setiap masalah yang dihadapi negara, sama ada melibatkan kaum India, Melayu, Cina, Iban atau Kadazan adalah tanggungjawab bersama dan perlu diselesaikan secara kolektif,” katanya ketika berucap pada Program Majlis Ramah Mesra bersama mahasiswa India di Universiti Malaya hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan tentang kebangkitan sentimen pelampau berasaskan kaum di beberapa negara lain dan menegaskan Malaysia tidak boleh terjerumus ke dalam politik kebencian.

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan ini, walau berdepan apa jua cabaran, tidak akan mengingkari komitmen untuk memastikan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau latar belakang, menerima perlindungan dan sokongan sepenuhnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast