Kesemua sembilan penghuni terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

KEPALA BATAS – Sembilan penghuni terselamat selepas rumah teres dua tingkat yang didiami mereka di Taman Mekarsari Anggun di sini, terbakar awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam bersama bantuan BBP Kepala Batas tiba di lokasi kejadian 11 minit kemudian.

“Sebaik tiba kita dapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat dengan keluasan bangunan dianggarkan 20 x 70 kaki persegi.

“Kebakaran berlaku di tingkat bawah membabitkan ruangan dapur dengan anggaran kemusnahan sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan rumah.

“Terdapat sembilan penghuni di rumah berkenaan ketika kejadian iaitu tiga lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa, dua kanak-kanak perempuan dan tiga kanak-kanak lelaki, namun kesemua mereka dilaporkan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah John Sagun, kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.19 pagi dan kerja-kerja overhaul turut dijalankan.

“Operasi tamat jam 7 pagi sebelum lokasi kejadian diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast