LOGO CIMB
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) menawarkan bantuan bersasar menerusi SME Stabilisation Relief Facility (SRF) kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan dengan peningkatan kos operasi, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran susulan konflik Asia Barat.

Diperkenalkan sebagai sebahagian daripada langkah bantuan bernilai RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kemudahan SRF itu menyediakan akses pembiayaan modal kerja tambahan kepada PMKS yang terjejas bagi menyokong keperluan kecairan jangka pendek termasuk pembelian inventori, perbelanjaan operasi dan kesinambungan perniagaan.

Keutamaan akan diberikan kepada perniagaan dalam sektor tertentu khususnya yang banyak bergantung kepada minyak, produk berasaskan minyak mentah dan diesel.

CIMB berkata, bantuan juga boleh diperluaskan kepada syarikat yang berdepan kesukaran mendapatkan bekalan dari negara yang terkesan akibat konflik berkenaan sehingga menyebabkan gangguan operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Komersial Kumpulan CIMB, Ahmad Shazli Kamarulzaman berkata, bank ini menyedari banyak perniagaan khususnya PMKS sedang beroperasi dalam persekitaran mencabar susulan peningkatan kos dan gangguan rantaian bekalan yang menjejaskan operasi harian.

“Kemudahan SRF ini bertujuan menyediakan sokongan praktikal, mengukuhkan daya tahan serta memberi fleksibiliti tambahan bagi membantu PMKS mengurus aliran tunai dan komitmen perniagaan dengan lebih baik sepanjang tempoh ini.

“Kami menggalakkan perniagaan yang menghadapi kesukaran pembayaran balik supaya menghubungi pengurus perhubungan kami lebih awal bagi meneroka pilihan bantuan yang tersedia termasuk penangguhan sementara ansuran dan semakan semula jadual pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Permohonan SRF dibuka kepada peminjam PMKS yang layak bermula 15 Mei hingga 31 Disember 2026 atau sehingga dana digunakan sepenuhnya.

Disokong melalui pembiayaan BNM dan skim jaminan kerajaan yang dikendalikan oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), kemudahan itu menawarkan pembiayaan sehingga RM750,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun pada kadar maksimum 3.75 peratus setahun termasuk fi jaminan.

Selain itu, CIMB turut meneruskan sokongan kepada pelanggan PKS yang terjejas menerusi Program Bantuan Pembayaran (Payment Assistance Programme – PAP) sedia ada yang menawarkan fleksibiliti pembayaran balik bagi membantu mengurangkan komitmen kewangan segera dan memberi ruang kewangan lebih baik kepada perniagaan.

Perniagaan yang memerlukan bantuan atau ingin mengetahui bantuan sokongan yang ditawarkan, boleh memuat turun borang permohonan menerusi laman web CIMB dan aplikasi OCTO, menghubungi pengurus perhubungan CIMB atau mengunjungi cawangan CIMB di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast