Seorang peserta larian dan petugas RELA program Marathon Antarabangsa Borneo 2026 cedera akibat insiden langgar lari, semalam.- Gambar FB

KUALA LUMPUR – Seorang peserta larian dan petugas RELA program Marathon Antarabangsa Borneo 2026 di Kota Kinabalu, Sabah cedera akibat insiden langgar lari semalam.

Kelab Kinabalu Running menerusi kenyataan berkata, kedua-dua mangsa yang cedera menerima rawatan segera daripada pasukan perubatan acara sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan pemerhatian.

Katanya, keluarga mangsa telah dihubungi dan kini keadaan mereka dipantau.

“Perkara ini sudah dilaporkan kepada polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa berkaitan. Kami akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan,” katanya.

Dalam masa yang sama, penganjur acara larian itu menegaskan tidak akan berkompromi dengan keselamatan pelari, sukarelawan, pegawai dan semua petugas.

Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya diminta menghormati penutupan jalan, langkah keselamatan maraton serta kehadiran pelari dan petugas ketika acara sukan berlangsung.

Kelab itu turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan, anggota penguat kuasa, sukarelawan dan orang awam yang bertindak pantas membantu ketika kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya sedang menyiasat punca kejadian.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast