Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed (kemeja putih) dalam sidang media selepas buat laporan polis di IPD Pekan

PEKAN – Pergerakan Pemuda UMNO Pekan terus menggesa tindakan tegas pihak berkuasa diambil terhadap individu-individu yang menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan institusi Diraja (3R).

Ketuanya, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, perkara itu dilihat masih dilakukan orang awam yang nyata tidak cakna untuk memartabatkan prinsip Rukun Negara.

Hari ini, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan selepas beberapa kandungan ciapan dimuatnaik menerusi aplikasi media sosial Threads didapati bersifat menghina serta memperlekeh institusi Diraja Pahang khususnya ke atas Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

“Kita mohon pihak polis melakukan pemantauan dan tindakan terhadap beberapa akaun di Threads yang secara jelas dan nyata mempersenda isu yang melibatkan Tengku Mahkota Pahang ketika ini.

“Besar harapan kami agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan lebih tegas agar isu 3R ini tidak merebak dan boleh menyebabkan berlaku ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed

Mohd Fakhrul berkata, hantaran berbentuk provokasi tersebut dipercayai dibuat susulan titah Tengku Hassanal ketika Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat lepas.

Beliau dalam masa sama berharap agar tindakan lebih tegas dapat diambil terhadap pihak terlibat dan bukan sekadar denda semata-mata agar menjadi iktibar dan pengajaran kepada masyarakat.

“Kalau dibiarkan, kita risau perkara lebih serius akan berlaku.

“Seperti mana kita tahu, jika perkara seperti ini berlaku, pasti akan ada pertembungan antara puak-puak yang menyokong tindakan itu dan puak-puak yang tidak menyokong tindakan itu,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa laporan sama dibuat secara serentak di seluruh negeri oleh pihak-pihak lain melibatkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan wakil rakyat daripada UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast