Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain.

PONTIAN – Seorang pesara guru dari Kampung Tengah Ayer Baloi di sini berputih mata apabila wang simpanan RM36,765 lesap akibat terpedaya dalam pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, semuanya bermula apabila mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 68 tahun berminat dengan sebuah iklan dalam Tiktok pukul 8.24 pagi, pada 16 April lalu.

“Iklan berkenaam mengenai pelaburan atas talian dan mangsa tertarik dengan pakej-pakej pelaburan yang ditawarkan. Mangsa kemudiannya berhubung dengan pihak admin bernama ‘Syafiq’.

“Mangsa kemudian diberikan penerangan cara menyertai pelaburan tersebut. Dia turut dimaklumkan oleh suspek bahawa hanya perlu mengeluarkan modal dan urusan pelaburan akan diuruskan oleh pihak pengurus syarikat bernama ‘Hasiah’.

“Mangsa dijanjikan akan menerima keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh yang singkat dengan permulaan modal pelaburan hanya serendah RM350,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tertarik dengan kadar keuntungan yang dijanjikan, mangsa melakukan tujuh transaksi berjumlah RM36,765 melalui pindahan atas talian dan mesin deposit tunai.

Katanya, transaksi berkenaan dilakukan ke dalam lima akaun bank yang berbeza dari 16 hingga 29 April lalu.

“Mangsa syak telah tertipu apabila dia sentiasa diminta untuk membuat penambahan bayaran sekiranya ingin mendapatkan semula modal yang telah dilaburkan sebelum ini berserta keuntungan yang diperolehi tersebut.

“Mangsa mengesahkan mengalami kerugian berjumlah RM36,765 yang merupakan wang simpanan milik pengadu. Dia membuat laporan polis di Benut pada 8 Mei lalu,” ujar beliau.

Menurutnya, semakan nombor akaun bank yang digunakan mangsa untuk transaksi mendapati mempunyai 11 aduan rekod lampau berkaitan penipuan.

Beliau menambah, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast