MELAKA – Wanita UMNO Kota Melaka mendakwa tindakan DAP meraikan penubuhan cawangan parti itu di Kampung Padang Temu hanyal cubaan membina persepsi kononnya masyarakat Melayu kini semakin menerima perjuangan parti berkenaan.
Ketuanya, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, hakikat sebenar jauh berbeza apabila terdapat individu yang diketengahkan itu sebenarnya merupakan ahli Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga rakan sekutu DAP dalam Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, pihaknya memandang serius dan kecewa terhadap kenyataan dibuat Ahli Parlimen Kota Melaka merangkap Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung penubuhan cawangan DAP Kampung Padang Temu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas itu.
“Dakwaan bahawa lebih 80 peratus ahli cawangan tersebut terdiri daripada orang Melayu dilihat sebagai percubaan membina persepsi politik bahawa sokongan Melayu terhadap DAP sedang berkembang di kawasan majoriti Melayu.
“Ada individu berkenaan merupakan ahli Amanah di Padang Temu, namun ia sengaja dipentaskan seolah-olah berlaku gelombang besar perubahan sokongan politik orang Melayu terhadap DAP.
“Lebih ketara, penggunaan wajah dan imej Melayu dalam hantaran tersebut dilihat sebagai strategi politik untuk ‘mengabsahkan’ penerimaan DAP di kawasan tradisi UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kehadiran beberapa individu Melayu tidak sama sekali mewakili suara majoriti masyarakat Melayu di Telok Mas yang menurutnya masih memahami sejarah, pendirian dan agenda politik parti itu.
Katanya, pihaknya juga menyifatkan tindakan mengangkat penubuhan cawangan berkenaan sebagai satu “sejarah besar” di kawasan majoriti Melayu sebagai sesuatu yang memualkan.
“Mereka juga telah mewujudkan beberapa cawangan dalam DUN Kesidang yang diwakili DAP.
“Ini jelas menunjukkan agenda mereka untuk menembusi kubu tradisi Melayu sedikit demi sedikit melalui permainan persepsi dan propaganda politik,” tegasnya.
Sehubungan itu, Haryaty mengingatkan UMNO supaya tidak leka dan terus memperkukuhkan gerak kerja akar umbi di kawasan Melayu.
“Kawasan Melayu tidak boleh dibiarkan jatuh hanya kerana permainan persepsi yang cuba mengelirukan rakyat dan gerak kerja akar umbi mesti diperkukuhkan bukannya sekadar retorik,” katanya.
Semalam, Poay Tiong berkongsi hantaran di Facebook mendakwa DAP Melaka mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menubuhkan cawangan pertama di Kampung Padang Temu yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.
Menurutnya, cawangan DAP pertama di kawasan majoriti pengundi Melayu melebihi 70 peratus dan lebih 80 peratus ahli terdiri daripada orang Melayu itu disertai ahli daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan Portugis. – MalaysiaGazette
















