BARCELONA – Bintang muda Barcelona, Lamine Yamal mencuri perhatian netizen apabila mengibarkan bendera Palestin ketika sambutan kemenangan kelab itu menjuarai La Liga pada Ahad.
Aksi itu dilihat ketika beliau dan pemain lain bersama jurulatih Barca yang menyertai perarakan meraikan kejayaan itu dengan menaiki bas terbuka sedang bergerak di sekitar bandar sambil disambut puluhan ribu penyokong.
Rakaman video yang dikongsi di media sosial itu menunjukkan Yamal mengangkat bendera Palestin sambil disorak oleh para peminat sepanjang perarakan tersebut.
Tindakan berani pemain berusia 18 tahun itu berlaku dalam konteks ketegangan berterusan di Asia Barat yang turut menarik perhatian masyarakat antarabangsa.
Sepanyol antara negara Eropah yang lantang mengkritik tindakan Israel di Gaza yang turut menjejaskan hubungan antara kedua-dua pihak.
Semalam, Barca mengesahkan kejuaraan La Lig buat musim kedua berturut-turut selepas menewaskan musuh tradisi, Real Madrid 2-0 pada aksi El Clasico.
Marcus Rashford dan Ferran Torres muncul wira apabila meledak gol pada babak pertama untuk memastikan skuad kendalian Hansi Flick meraih gelaran liga ke-29.
Ini kali kedua dalam sejarah keputusan La Liga ditentukan secara langsung menerusi El Clasico, selepas Real Madrid meraih gelaran pertama mereka pada 1932 hasil keputusan seri menentang Barca.
Kelab itu kini berpeluang menamatkan musim dengan rekod 100 mata. – Agensi
















