Letupan dron berhampiran kawasan Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL HQ), Naqoura kira-kira jam 5.30 petang (waktu Malaysia), baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Satu insiden letupan dipercayai melibatkan dron yang tidak dikenal pasti dilaporkan berlaku berhampiran kawasan Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL HQ), Naqoura kira-kira jam 5.30 petang (waktu Malaysia), semalam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin letupan tersebut berlaku berhampiran dengan pagar perimeter UNIFIL HQ pada jarak kira-kira 20 meter daripada tempat rehat PST Malaysia, dikenali sebagai Malaysia House yang mengakibatkan kerosakan kecil pada bahagian luar serta dalam bangunan berkenaan.

Katanya, lokasi itu terletak kira-kira 24 kilometer dari Kem Marakah, penempatan utama MALBATT 850-13 di selatan Lubnan.

“Terdahulu, pada kira-kira jam 5.19 petang (waktu Malaysia), siren amaran telah dibunyikan dan arahan untuk memasuki bunker telah dikeluarkan kepada semua Pegawai Staf Tentera (PST) yang bertugas di Markas UNIFILsebagai langkah keselamatan susulan situasi ancaman di kawasan operasi,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Mohamed Khaled, tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan melibatkan PST Malaysia mahupun staf UNIFIL, memandangkan kesemuanya berada di dalam bunker semasa kejadian berlaku.

Tambah beliau, kawasan sekitar Malaysia House telah ditutup sementara susulan kejadian itu bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa UNIFIL.

“Pada masa yang sama, penilaian lanjut sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap kerosakan melibatkan struktur bangunan dan peralatan, manakala tindakan susulan berkaitan pembaikan akan diselaraskan melalui elemen MALBATT 850-13,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau memberi jaminan Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau rapat situasi semasa di kawasan operasi di samping bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL dan elemen berkaitan bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast