Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebatang pokok tumbang di Lebuhraya Pasir Gudang, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebatang pokok tumbang di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Bandaraya Johor Bahru dekat sini, hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Tinggi II Nazarudin Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.06 pagi.

Susulan itu katanya, seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kejadian berlaku berhampiran Megah Ria. Jentera tiba di lokasi pukul 4.13 pagi dan mendapati terdapat sebatang pokok mati berukuran kira-kira satu meter tumbang di atas jalan sebelum dipercayai dilanggar penunggang motosikal terbabit.

“Kemalangan itu menyebabkan Brad Fischhetti Anak Kijam, 26, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pihak bomba turut menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok bagi memastikan laluan berkenaan selamat digunakan semula.

Tambah beliau, operasi tersebut ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.34 pagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast