Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye.

GEORGE TOWN – Pesalah membuang sampah kecil di tempat awam di Pulau Pinang bakal dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bermula 1 Julai ini dengan melaksanakan pelbagai kerja pembersihan di lokasi awam yang dikenal pasti pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, antara aktiviti yang dikenal pasti termasuk mengutip, menyapu, mencuci, mengemop, mengecat serta mengumpul sisa pepejal di kawasan tertentu.

“Lokasi pelaksanaan PKM itu melibatkan jalan awam, pasar awam, pasar tani, pasar pagi atau pasar malam, longkang awam, pantai awam, perhentian bas, tandas awam, taman awam, laluan pejalan kaki, jejantas, medan selera dan pusat penjaja.

“Jadual pelaksanaan PKM akan ditentukan oleh PBT berdasarkan kesesuaian operasi, tempoh hukuman yang ditetapkan serta faktor keselamatan dan kebajikan pesalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Joseph Ng Soon Siang (DAP- Ayer Itam) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Terdahulu, Jason berkata, pelaksanaan PKM di negeri itu akan mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2026 selaras dengan keputusan kerajaan negeri selepas semua garis panduan, prosedur operasi standard (SOP) serta mekanisme pelaksanaan dimuktamadkan di peringkat PBT.

Katanya, pelaksanaan itu akan dibuat secara berperingkat dan terselaras bagi memastikan keberkesanan serta kelancaran di seluruh kawasan pentadbiran PBT.

“Pelaksanaan PKM juga tidak melibatkan implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan negeri kerana ia menggunakan sumber sedia ada di PBT termasuk pengoptimuman sumber manusia dan operasi semasa bagi tujuan logistik serta penyeliaan.

“Kerajaan negeri juga akan melaksanakan usaha hebahan dan pendidikan awam menerusi media sosial rasmi, kempen kesedaran kebersihan, program libat urus komuniti serta pemasangan papan tanda peringatan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pelaksanaan PKM sebagai hukuman alternatif yang lebih mendidik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast