KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 31 notis kompaun terhadap pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan ingkar arahan pihak berkuasa melalui papan tanda pemberitahuan dan isyarat lalulintas jalan yang telah disediakan.
DBKL berkata, kompaun dikeluarkan menerusi Tindakan Khas Lalulintas Lorong Bas dan Teksi di Jalan Cheras pada Rabu lalu.
“Menerusi tindakan khas lalulintas ke atas kenderaan awam menggunakan lorong khas yang telah disediakan bagi kegunaan kenderaan seperti bas dan teksi di laluan utama penggunaan lorong bas,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan khas lalulintas dilakukan menerusi kesalahan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Pengguna jalan raya diingatkan agar mematuhi peraturan dan isyarat lalulintas yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
“Sebarang aduan atau maklum balas, orang awam boleh salurkan dipautan tertera,” tambahnya.-MalaysiaGazette
















