KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (gerakan) mempersoalkan tindakan kerajaan “Madani” yang didakwa masih gagal mendedahkan laporan siasatan atau mengambil tindakan terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki meskipun beliau telah bersara pada 12 Mei lalu.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kegagalan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan perkara itu menimbulkan persepsi bahawa kerajaan cuba melindungi Azam, sekaligus menjadikan agenda reformasi dan antirasuah kelihatan tidak meyakinkan di mata rakyat.
“Jangan anggap rakyat mudah lupa. Rakyat masih menunggu kebenaran. Jika dakwaan tidak berasas, kerajaan harus telus menjelaskan dan membersihkan nama pihak terlibat.
“Namun, sekiranya terdapat bukti kukuh, tindakan undang-undang mesti diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dominic Lau berkata, kelewatan kerajaan memberi maklum balas terhadap isu berkenaan menimbulkan tanggapan bahawa, perkara itu cuba disembunyikan, selain menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti SPRM.
Beliau turut membangkitkan laporan Bloomberg pada 10 Februari lalu berhubung dakwaan pegangan saham bernilai tinggi melibatkan Azam, namun mendakwa kerajaan terus mengelak daripada memberi jawapan sehingga persaraan bekas ketua SPRM itu.
Dominic mendakwa, layanan kerajaan terhadap isu melibatkan pimpinan SPRM berbeza berbanding tindakan tegas yang diambil dalam kes lain, sekaligus mencetuskan persepsi wujudnya amalan ‘double standard’ dalam usaha membanteras rasuah.
“Adakah Kabinet pernah membincangkan langkah penyelesaian? Atau kerajaan sengaja menutup fakta? Perkara ini bukan sahaja menjejaskan integriti kerajaan, malah turut mencemarkan imej SPRM yang selama ini dianggap bebas dan berintegriti,” katanya.
Dalam pada itu, Dominic Lau berkata, isu melibatkan Azam memperlihatkan dilema kerajaan dalam mengimbangi kestabilan politik dengan komitmen membanteras rasuah, sehingga menimbulkan persepsi bahawa agenda antirasuah digunakan sebagai alat politik terhadap pihak tertentu.
Beliau turut berkata, pelantikan pengerusi baharu SPRM, Datuk Seri Abdul Halim akan terus diperhatikan rakyat bagi menilai sama ada agensi itu benar-benar mampu bertindak secara bebas dan adil.
“Jika Anwar benar-benar membenci rasuah, keadaan kacau-bilau seperti sekarang tidak akan berlaku. Pegawai kerajaan bukan sahaja perlu berdisiplin, malah mesti mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa, undang-undang merupakan asas penting dalam tadbir urus negara dan Malaysia perlu membina sistem perkhidmatan awam yang profesional serta berkualiti tinggi bagi memastikan pembahagian kuasa antara institusi kerajaan lebih seimbang dan berkesan. – MalaysiaGazette
















