KUALA LUMPUR – Seramai 28 warga asing yang mengaku bersalah atas tuduhan terlibat dalam kegiatan pusat panggilan penipuan atau calling center scam diusir keluar ke negara asal.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, dalam masa yang sama kesemua suspek yang terdiri daripada 27 warga China dan seorang warga Vietnam turut didenda sebanyak RM5,000 setiap seorang.
“Semua suspek didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Mahkamah Majistret Tawau,” katanya.
Terdahulu semua suspek ditahan pada Khamis lalu dan didakwa di mahkamah dua hari yang lalu atas tuduhan jenayah terancang.
Terdahulu sindiket tersebut dipercayai menjalankan kegiatan penipuan atas talian dengan menyasarkan mangsa dari negara Korea melalui platform komunikasi digital bagi memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang.
Sementara itu beliau berkata, semua suspek diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam bagi proses pengusiran ke negara asal masing-masing.
dalam pada itu, Jasmin menegaskan pihak polis akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan penipuan atas talian yang semakin aktif dan memberi ancaman kepada masyarakat termasuk melibatkan sindiket warga asing yang beroperasi di daerah berkenaan.-MalaysiaGazette
















