JOHOR BAHRU – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan 6,680 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) melibatkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam sejak awal tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, NPK dikeluarkan kepada pesalah daripada pelbagai peringkat usia di seluruh negara termasuk 15 remaja.
Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, 1,866 pesalah merupakan warganegara asing yang bekerja di negara ini.
“15 kes membabitkan remaja itu kebanyakannya berlaku di Kuala Lumpur. Faktor usia bukan jadi penghalang untuk dikenakan tindakan, kanak-kanak pun boleh diberikan NPK jika buang sampah kecil di tempat awam.
“Remaja berusia 16 hingga 18 tahun terbabit akan menjalani proses hukuman yang sama termasuk program khidmat masyarakat (PKM), namun ia perlu dilaksanakan dengan mengambil pendekatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Sinergi Kasih Madani Komuniti Lestari dan Selamat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed.
Sehingga kini, seramai 289 pesalah sudah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan 158 daripadanya selesai menjalani PKM di bawah pemantauan anggota penguat kuasa SWCorp di lokasi terpilih.
Antara warga asing yang sudah menjalani PKM terdiri daripada warganegara Indonesia, China, Nepal, Bangladesh dan Singapura.
Mengulas mengenai pesalah bawah umur, Aiman Athirah berkata, hukuman yang dikenakan mengambil kira peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurutnya, SWCorp akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi meningkatkan kesedaran dan Kefahaman dalam kalangan pelajar mengenai penguatkuasaan Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam).
“SWCorp komited dalam menjalankan tugas serta tidak melakukan pengecualian terhadap pesalah termasuk kanak-kanak,” ujarnya.
Pada program itu, Aiman Athirah turut merasmikan ‘fire point’ Bomba Komuniti PPR Taman Desa Mutiara serta penyerahan beberapa bantuan peralatan kepada pasukan bomba komuniti tersebut.
“Di seluruh negara, kita ada 16 lokasi ‘fire point’ yang dilengkapi pelbagai peralatan seperti hos, bot, jaket keselamatan dan sebagainya untuk komuniti bomba ini memberi bantuan awal sebelum kehadiran pasukan bomba di lokasi kejadian.
“Kita akan pertimbangkan (tambah fire point di setiap negeri) kerana ia sememangnya satu keperluan dan memberi nilai tambah kepada peranan bomba komuniti,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















