KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menguatkuasakan keperluan Sijil Analisis (CoA) ikan siakap dan menyekat sementara pengimportan lima spesis udang dari Thailand berkuatkuasa 1 Jun ini.
Menurutnya, tempoh sekatan dikuatkuasakan sehingga pihak berkuasa negara itu mengemukakan maklum balas rasmi terhadap soal selidik yang dikemukakan Malaysia.
“Serta tertakluk bagi penelitian lanjut pihak Malaysia terhadap maklum balas tersebut,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu KPKM berkata, lima spesis udang daripada Thailand yang disekat sementara waktu adalah Penaeus esculentes, Fenneropenaeus merguiensis, Penaeus vannamei, Penaeus monodon dan Penaeus stylirostris.
Jelasnya, kawalan import tersebut dibuat secara bersepadu melalui Kerjasama Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia; Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di semua pintu masuk negara.
Tambahnya, kementerian itu sentiasa bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan kawalan import ini berjalan lancar tanpa menjejaskan kestabilan bekalan ikan siakap dan udang dalam negara.
“Maklumat lanjut mengenai panduan permohonan CoA akan dimuat naik di laman sesawang rasmi KPK dalam masa terdekat dan boleh dirujuk dari semasa ke semasa,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















