Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Johor sudah menjangkakan keputusan Barisan Nasional (BN) negeri itu untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Dalam kenyataan bersama pemimpin tiga parti komponen PH Johor, katanya, sehubungan itu PH Johor sememangnya telah bersedia untuk menghadapi PRN secara demokratik, matang dan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat.

Namun ujarnya, BN Johor perlu berlaku jujur kepada rakyat bahawa kestabilan dan pembangunan negeri pada hari ini bukan berlaku secara bersendirian, sebaliknya turut disumbangkan melalui kerjasama erat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Tambahnya, antara contoh jelas ialah usaha menangani kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (CIQ) dan Tambak Johor yang melibatkan kerjasama pelbagai kementerian Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Selain itu, menurutnya, projek perkhidmatan ETS ke Johor Bahru, pelbagai pelaburan strategik yang dibawa masuk melalui MITI dan agensi Persekutuan, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), serta penambahbaikan kemudahan awam dan infrastruktur negeri juga lahir daripada hubungan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Justeru apabila BN Johor membuat keputusan bertanding solo, rakyat berhak mempersoalkan sama ada BN sebenarnya hanya mahu mengambil manfaat politik daripada hasil kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, tetapi dalam masa sama memilih untuk menjarakkan diri apabila tiba musim pilihan raya,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi PH Johor yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.

Apapun, tambah kenyataan itu, PH Johor mengambil maklum pendirian yang dinyatakan secara terbuka oleh BN Johor tersebut.

“Sekurang-kurangnya BN Johor menyatakan pendirian mereka lebih awal untuk memasuki medan pilihan raya secara bersendirian, tidak seperti di Negeri Sembilan baru-baru ini,” katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, PH Johor akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pimpinan pusat untuk langkah seterusnya.

Hari ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN Johor akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dalam PRN Johor akan datang selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga UMNO Johor.

“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast