SHAH ALAM – Kerajaan Madani digesa agar mengetepikan ego politik dan tidak segan untuk mengguna pakai semula dasar serta formula bantuan yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dalam mendepani krisis ekonomi semasa.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pendekatan proaktif amat diperlukan ketika ini memandangkan golongan peniaga kecil dan sederhana (PKS) serta rakyat marhaen sedang tersepit dengan peningkatan kos sara hidup.
“Apa kerajaan buat? Waktu kami dulu berdepan krisis (Covid-19), kita ambil tindakan segera, pelbagai tindakan kita sudah buat. Sudah ada contoh kita bantu perusahaan kecil dan sederhana.
“Jangan segan nak guna, kalau terbaik untuk rakyat, jangan segan nak guna, nak tukar nama tukar lah, kita bantu rakyat melibatkan kos sewa agensi-agensi kerajaan, waktu Covid-19 pada 2021 kita sudah buat.
“Kantin-kantin dibantu dalam konteks sewa ini, tak payah sewa, dikurangkan sewa dan sebagainya, kita sudah buat, macam-macam bantuan kita sudah buat.
“Kenapa berkeras sangat, segan nak ikut apa yang kita buat,” katanya berucap pada Ceramah Rapat Rakyat Selangor, di sini, malam tadi.

Menurut Radzi, situasi semasa yang semakin parah ekoran peluasan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kenaikan kos logistik, serta penyasaran subsidi diesel memerlukan tindakan segera dan bukannya sikap ‘santai’ daripada pihak kerajaan.
“Dalam konteks perang di Iran, jika kita lihat, ini merupakan satu krisis yang cukup besar, tetapi kerajaan santai sahaja, oh masih belum ada kesan, masih boleh bertahan.
“Sedar atau tidak di bawah sana ramai rakyat yang sedang merana, peniaga-peniaga cukup terkesan, sebelum perang ini peniaga sudah terkesan,” katanya.
Ketika mengimbas kembali pentadbiran di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pandemik Covid-19, Radzi menjelaskan walaupun bertukar kerajaan di tengah penggal tanpa sebarang manifesto, gabungan itu membuktikan keupayaan mengurus krisis global dengan cekap.
“Waktu kami dulu waktu krisis, apabila itu berlaku, kita ambil tindakan segera. Pelbagai tindakan kita sudah buat dan sudah ada contoh bagaimana kita nak bantu perusahaan kecil dan sederhana.
“Jangan segan nak guna, kalau terbaik untuk rakyat, jangan segan nak guna. Nak tukar nama, tukarlah,” katanya.
Bekas Menteri Kanan Pendidikan itu turut menegaskan, hasil tinjauan beliau di peringkat akar umbi mendapati rata-rata sektor PKS kini berada dalam mod bertahan agar perniagaan mereka tidak gulung tikar.
Katanya, rantaian kesan geopolitik dunia seperti konflik di Iran, ditambah pula dengan tekanan domestik akibat penarikan subsidi, telah meletakkan peniaga dalam dilema untuk menaikkan harga jualan demi menampung kos operasi yang tinggi.
“Bila kos perniagaan terlalu tinggi, nak naikkan harga terlalu tinggi nanti pembeli pula tak ada kerana kuasa beli semakin kurang,” katanya.
Sehubungan itu, Radzi mengingatkan barisan kepimpinan Kerajaan Madani bahawa urusan mentadbir negara adalah satu tanggungjawab yang berat dan tidak semudah sekadar retorik atau berkata-kata ketika menjadi pembangkang.
“Saya berharap cadangan yang pernah dibangkitkan di Dewan Rakyat sebelum ini diberi perhatian serius demi memastikan kesejahteraan rakyat diutamakan melebihi kepentingan politik kepuasan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















