Ahli Perniagaan, Albert Tei Jiann Cheng. Foto SADIQ SANI, 04 APRIL 2026. (GAMBAR FAIL)

 

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing mendakwa berlaku insiden kurang sopan ketika program “Himpunan Turun Anwar 2.0” di Rumah Merah di Melaka pada Sabtu lalu, apabila bacaan doa penutup oleh seorang ustaz didakwa diganggu dengan pemasangan lagu kuat menggunakan pembesar suara oleh pihak lain yang berada bersebelahan lokasi program.

Menurutnya, tindakan itu disifatkan sebagai tidak menghormati sensitiviti umat Islam yang sedang berdoa.

Albert berkata, sejak di bangku sekolah rendah lagi beliau dididik bahawa individu bukan Islam perlu berdiam diri ketika umat Islam membaca doa sebagai tanda hormat.

“Pada penghujung ‘Perhimpunan Turun Anwar 2.0’ yang berlangsung di Rumah Merah, Melaka telah berlaku satu insiden yang sangat kurang ajar.

“Ketika seorang ustaz tengah membacakan doa penutupan, pihak sabotaj yang menganjurkan program di sebelah sengaja letak satu speaker besar di tempat kami dan buka lagu dengan suara yang kencang untuk menghalang ustaz itu membacakan doa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak menghormati keharmonian antara kaum dan agama serta berharap perkara sama tidak berulang pada masa depan.

Terdahulu media melaporkan, “Himpunan Turun Anwar 2.0” yang berlangsung di Jam Besar, Banda Hilir, Melaka pada Sabtu lalu mencetuskan sedikit kekecohan.

Ia berpunca daripada isu perebutan pembesar suara dengan sebuah program kerajaan negeri, “Sepetang Warisan Santai @ Banda Hilir,” yang berlangsung di lokasi dan waktu yang sama.

Selain itu, penganjuran himpunan tersebut turut berdepan sambutan yang kurang memberangsangkan dan sebelum ini didakwa ditukar ke lokasi tersebut atas faktor sabotaj.

Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka turut membuat laporan polis kerana himpunan tersebut didakwa berunsur provokasi.  – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast