Fuziah Salleh dalam Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Indeks pemerkasaan pengguna negara ketika ini berada pada paras 63 peratus dan disasarkan meningkat 70 peratus menerusi pelbagai program advokasi, latihan serta inisiatif pemerkasaan pengguna secara berterusan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, usaha itu penting bagi melahirkan pengguna yang bukan sahaja memahami hak mereka, malah mempunyai daya tahan serta mampu berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.

Beliau berkata, gerakan pengguna dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mendidik masyarakat mengenai hak pengguna serta memperkasakan mereka supaya lebih bijak membuat keputusan.

“Kita mahu pengguna memahami bahawa mereka mempunyai pilihan dan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada kerajaan dalam menangani isu berkaitan kepenggunaan serta cabaran geopolitik semasa.

“Pengguna juga boleh memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat pihak mengambil kesempatan dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di Hotel Seri Malaysia di sini, hari ini.

Kira-kira 58 NGO berjaya dihimpunkan dalam program itu melibatkan pelbagai kumpulan termasuk mahasiswa, komuniti pengguna dan pertubuhan berkaitan kepenggunaan.

Mengulas lanjut, beliau mahu NGO berkaitan pengguna memainkan peranan lebih tersusun sebagai rakan strategik dalam menjayakan agenda pemerkasaan pengguna negara.

Katanya, pihak kementerian kini menetapkan pendekatan baharu dengan menentukan sendiri sasaran serta hasil yang mahu dicapai, manakala NGO bertindak sebagai pelaksana di peringkat komuniti.

Menurutnya, sebelum ini kebanyakan NGO bergerak dengan program masing-masing serta menerima peruntukan kementerian tanpa penyelarasan menyeluruh terhadap impak yang ingin dicapai.

“Ke hadapan, kementerian mahu memastikan setiap NGO memainkan peranan mengikut konteks dan hala tuju yang telah ditetapkan.

“Kementerian akan menentukan ‘outcome’ yang mahu dicapai dan NGO menjadi pelaksana bagi memastikan sasaran itu direalisasikan,” katanya.

Fuziah berkata, terdapat ribuan NGO pengguna termasuk pertubuhan besar seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) serta beberapa badan berkaitan kepenggunaan lain.

Tambahnya, kerjasama itu penting bagi memperkukuh tahap celik pengguna serta meningkatkan peranan masyarakat dalam menangani isu kepenggunaan semasa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast