KUALA LUMPUR – Persijilan antarabangsa seperti A-Level diterima masuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), mengapa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak dibenarkan, demikian persoalan yang dilontarkan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Howard Lee Chuan How.
Beliau melihat terdapat diskriminasi terhadap perkara itu memandangkan kedua-duanya berada di bawah kategori aliran swasta dan persendirian, namun layanan yang diberikan jauh berbeza.
“Kalau A Level boleh, kenapa UEC tidak boleh?
“Ini sama dengan bertanyakan kenapa sekolah antarabangsa tak guna Bahasa Melayu.
“Ia adalah satu aliran persendirian yang disebutkan oleh Prof (Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong) tadi.
“Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) adalah aliran swasta. Sekolah antarabangsa juga adalah aliran swasta. Kenapa soalan yang sama tidak diajukan kepada sekolah antarabangsa?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerusi program SKOP MG dengan tajuk ‘Apa Sebenarnya UEC: Kenapa Ia Ditentang’ bersama serorang lagi panel iaitu Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
Howard turut membidas penggunaan perumpamaan kasar oleh Kok Seong yang disifatkan sebagai memperkecilkan status anak-anak watan yang belajar di SMPC.
“Apabila disebut ‘beruk di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan’, adakah kita nak menganggap anak-anak SMPC ini adalah beruk?
“Tak betul tu. Jadi apabila perumpamaan sebegitu digunakan, ia memperkecilkan anak-anak kita.
“Sebab mereka pun anak kita. Kita tak boleh kata anak-anak UEC bukan anak kita. Mereka anak kita,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Howard berkata evolusi sikap Dong Zong kini telah berubah secara proaktif berbanding tahun 2015 demi memastikan para pelajar akur dengan syarat subjek teras peperiksaan kebangsaan.
“Saya rasa apabila kita nak katakan Dong Zong, dulu tahun 2015 dia memang tolak bila mana kita nak tambah waktu pembelajaran Bahasa Melayu dan saya waktu itu antara yang menyokong nak tambah waktu.
“Tetapi Dong Zong waktu itu juga adalah Dong Zong yang menolak syarat merit Bahasa Melayu dan Sejarah untuk SPM, tetapi sekarang menerima sebagai syarat kelayakan.
“Tapi sekarang Dong Zong, merekalah yang tampil sebagai syarat kelayakan untuk menerima kelayakan budak-budak UEC untuk masuk IPTA.
“Sebab kesemua budak-budak UEC yang mengambil SPM penuh hanya meminta supaya diterima dalam IPTA,” katanya.
Menurutnya lagi, dengan keputusan terbaharu yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini membuka ruang yang lebih inklusif untuk menyerap pelajar terbabit ke dalam agenda pemerkasaan bahasa kebangsaan.
“Dasarnya adalah untuk menerima kelayakan anak-anak Malaysia yang mahu masuk ke universiti melalui UEC iaitu aliran pendidikan menengah melalui SMPC.
“Tetapi apabila nak integrasi tu, saya rasa ini adalah langkah yang proaktif untuk menggalakkan anak-anak SMPC yang mengambil UEC untuk lebih berintegrasi, lebih menggunakan Bahasa Melayu, maka ia adalah satu langkah memperkasakan bahasa kebangsaan. Apa yang ditolaknya?” soal beliau. -MalaysiaGazette

















A-level tu utk pelajar antarabangsa laa bodoh..UEC tu utk pelajar tempatan jaa..Negara China pun tak terima UEC utk masuk IPT China