JOHOR BAHRU – Tiga sindiket pengedaran dadah lumpuh selepas polis menahan 10 individu dengan rampasan RM4.36 juta dalam tiga operasi berasingan di daerah ini dan Batu Pahat selama empat hari bermula 11 Mei lalu.
Operasi berkenaan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Johor bersama JSJN daerah turut melakukan sitaan aset berjumlah hampir RM500,000.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, semua suspek yang ditahan terdiri daripada empat lelaki tempatan, seorang wanita tempatan, seorang lelaki Singapura, tiga wanita Vietnam dan seorang wanita Thailand berusia 24 hingga 54 tahun.
“Dalam operasi pertama di Johor Bahru Selatan, polis menahan tujuh individu termasuk warga asing yang dipercayai berperanan sebagai pembekal, pengedar dan pembantu sindiket.
“Pelbagai dadah termasuk ekstasi, MDMA dan ketamin dirampas dengan nilai mencecah RM1.47 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Menurutnya, operasi kedua di Batu Pahat pula berjaya seorang lelaki tempatan ditahan sebagai penjaga stor dadah, dengan rampasan bernilai RM1.15 juta.
Katanya, bagi operasi ketiga di Johor Bahru membawa kepada penahanan pasangan suami isteri yang dipercayai aktif mengedar dadah, dengan rampasan bernilai RM1.73 juta.
Jelas beliau, ketiga-tiga sindiket dipercayai menjadikan kondominium berpagar serta rumah teres sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Secara keseluruhan katanya, polis merampas 41.62 kilogram dan 9.12 liter dadah pelbagai jenis termasuk MDMA, ekstasi dan ketamin.
“Selain itu, polis turut menyita pelbagai aset seperti lima kenderaan, wang tunai, emas, dan barang kemas dengan nilai sitaan RM498,287.10,” ujarnya.
Tambah beliau, saringan awal mendapati beberapa suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin, manakala semua suspek kini direman bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.
“Polis Johor menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi membanteras sindiket dadah yang disifatkan sebagai ancaman utama kepada negara,” katanya.- MalaysiaGazette
















