MAKKAH – Pasukan Perubatan Haji Malaysia berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi memastikan kesihatan jemaah sentiasa terpelihara sepanjang operasi masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Timbalan Ketua Rombongan Haji Perubatan, Dr. Muhammad Zamri Harun berkata, fokus utama pasukan perubatan adalah memastikan setiap jemaah berpeluang menunaikan ibadah haji dengan sempurna terutama dapat berwukuf di Arafah.
Menurut beliau, perancangan operasi perubatan haji melibatkan tiga fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas pergerakan jemaah ke masyair.
“Sebahagian petugas perubatan akan bergerak lebih awal ke Arafah dan Mina untuk membuat persiapan, manakala sebahagian lagi kekal bersama jemaah di maktab bagi memastikan rawatan segera dapat diberikan sekiranya diperlukan,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, cabaran terbesar sepanjang operasi masyair ialah memastikan komunikasi dan koordinasi berjalan lancar memandangkan pergerakan melibatkan jumlah jemaah yang besar dalam keadaan cuaca panas melampau.
Katanya, suhu tinggi di Tanah Suci meningkatkan risiko dehidrasi, keletihan haba dan strok haba selain jangkitan penyakit saluran pernafasan.
Sehubungan itu, katanya, pasukan perubatan giat memberi pendidikan kesihatan dari bilik ke bilik sebelum jemaah bergerak ke Arafah.
“Kita nasihatkan jemaah supaya mengurangkan aktiviti luar terutama pada waktu siang dan minum sekurang-kurangnya 10 gelas air sehari walaupun tidak haus bagi mengelakkan dehidrasi,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini masalah kesihatan paling banyak direkodkan dalam kalangan jemaah Malaysia ialah jangkitan saluran pernafasan atas seperti batuk dan sakit tekak.
Selain itu, ramai jemaah turut mengalami masalah kulit kering dan gatal akibat cuaca panas serta kecederaan tisu lembut kerana banyak berjalan.
“Kita memang membawa bekalan pelembap kulit dari Malaysia untuk diberikan kepada jemaah dan turut menyediakan pasukan fisioterapi bagi membantu mereka melakukan senaman regangan sebelum melaksanakan ibadah,” tambah beliau.
Mengulas mengenai strok haba, Dr. Mohamad Zamri berkata, keadaan itu biasanya bermula dengan keletihan haba apabila badan berpeluh berlebihan dan suhu meningkat sebelum menjadi lebih serius sehingga jemaah boleh mengalami sakit kepala, keliru dan pengsan.
Katanya, keadaan sedemikian memerlukan rawatan segera daripada pasukan perubatan.
Beliau berkata, seramai 224 petugas perubatan terlibat dalam operasi musim haji kali ini termasuk pakar perubatan, doktor, jururawat, ahli dietetik, fisioterapi serta pasukan pendidikan kesihatan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan bahagian kebajikan menerusi program peneman bagi membantu jemaah uzur yang tidak mampu berjalan jauh ketika operasi masyair.
“Kita juga mempunyai ambulans khas serta klinik kecemasan di Mina dan Arafah bagi memastikan jemaah yang memerlukan rawatan segera dapat dibantu dengan pantas,” katanya.
Beliau turut mengingatkan jemaah terutama yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi supaya sentiasa berdisiplin mengambil ubat sepanjang berada di Tanah Suci.
“Jangan rasa bila berada di Tanah Suci semuanya cukup dengan doa sahaja. Ubat tetap perlu diambil seperti biasa kerana disiplin menjaga kesihatan sangat penting,” katanya.
Mengakhiri temu bual, beliau menyeru jemaah supaya memperbanyakkan rehat dan mengurangkan aktiviti berat menjelang hari wukuf.
“Seminggu sebelum wukuf nanti, banyakkan berehat dan minum air. Jangan paksa diri ke Masjidil Haram terlalu kerap kerana kita mahu semua jemaah berada dalam keadaan sihat untuk berwukuf di Arafah dan memperoleh haji mabrur,” katanya. – MalaysiaGazette
















