Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby dalam satu sidang media hari ini.

DENGKIL – Sehingga jam 3 petang tadi, Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan 40 kapal yang membawa ratusan aktivis termasuk 25 rakyat Malaysia telah dipintas dan diceroboh pihak rejim Israel ketika dalam misi menuju ke Gaza.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, hampir 350 aktivis yang berada dalam kapal yang menyertai Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) itu dipercayai diculik keluar dari kapal masing-masing sebelum dipindahkan ke empat kapal tentera Israel.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, pihaknya masih belum menerima pengesahan berhubung status sebenar kesemua aktivis yang ditahan termasuk lokasi serta destinasi pemindahan mereka selepas insiden itu berlaku.

“SNCC menerima laporan visual mengesahkan semua aktivis telah diculik keluar dari kapal masing-masing secara paksa ke empat kapal tentera pihak rejim,” katanya semasa sidang media, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/05/18/gsf-2-0-lapan-rakyat-malaysia-ditahan-tentera-israel/

https://malaysiagazette.com/2026/05/18/malaysia-tuntut-israel-bebaskan-segera-aktivis-gsf/

Menurut beliau, 25 rakyat Malaysia yang terlibat insiden tersebut adalah Razman Mat Ali yang menaiki kapal Azur, Nor Liyana Farhan Daud (Amazon), Al Ahmad Shah Abdul Kadir (Iridescence) serta Abdul Rahim Abdul Razak dan Eddy Noor Mad Amin di kapal Marilyn.

Selain itu, Mohd Hanafi Mohd Salim dan Mohd Redzal Amzah dilaporkan berada di kapal Bolarize manakala Jihan Alya Mohd Nordin serta Norhelmi Ab Ghani berada di kapal Ozgurluk.

Dalam pada itu, Sani Araby memaklumkan, masih terdapat 10 kapal GSF masih meneruskan pelayaran dan berada di Zon Merah 2, iaitu kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza.

Beliau mengesahkan empat rakyat Malaysia berada di dalam kapal berkenaan iaitu Hareez dan Chin (kapal Alcyone), Syed Amirul atau Don Juan serta Noor Thanisah (kapal Zefiro).

Sani Araby menegaskan, SNCC mengecam tindakan pemintasan dan penculikan itu yang disifatkan sebagai perlakuan lanun.

Tindakan tersebut juga jelas satu pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

“SNCC menegaskan bahawa semua aktivis mesti dilindungi daripada sebarang bentuk penderaan, penganiayaan atau pelanggaran hak asasi serta tidak boleh dikenakan sebarang tindakan tidak berperikemanusiaan hanya kerana membawa suara keamanan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin,” katanya.

SNCC turut mengesahkan 15 kapal melibatkan 25 rakyat Malaysia terbabit dalam insiden berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast