KUALA LUMPUR – Pas membidas keputusan kerajaan yang didakwa memenuhi tuntutan DAP dengan memberi laluan kepada 10,000 pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Pengerusi Lajnah Hubungan NGO dan Seranta Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, kerajaan tidak sepatutnya tunduk kepada sekumpulan kecil berbanding 34 juta rakyat yang selama ini menjunjung pendidikan kebangsaan.
“Sekolah UEC jumlahnya kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan rakyat Malaysia yang melebihi 34 juta orang.
“Sistem pendidikan kebangsaan dan sekolah agama pula melibatkan ratusan ribu pelajar.
“Namun sekolah tahfiz tetap diwajibkan menggunakan bahasa Melayu sebagai salah satu komponen utama,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, kuasa politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk menggadaikan prinsip perjuangan bangsa, agama dan negara semata-mata demi mengekalkan kedudukan politik.
“Perjuangan mempertahankan sistem pendidikan kebangsaan perlu kembali berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan identiti nasional negara,” katanya.
Menurut beliau, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perkara itu perlu dihormati oleh semua pihak tanpa kompromi.
“Mana-mana negara di dunia ini akan meletakkan bahasa majoriti atau bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan dan pentadbiran negara.
“Di Indonesia misalnya, semua rakyat wajib menggunakan bahasa Indonesia tanpa mengira bangsa,” katanya.
Katanya lagi, hubungan antara Perkara 152 dan Perkara 153 amat rapat kerana kedua-duanya menyentuh soal kedudukan bahasa Melayu serta hak istimewa Melayu dan bumiputera yang menjadi asas pembentukan negara.
“Ke mana hala tuju perjuangan pengiktirafan UEC sekiranya sistem tersebut tidak meletakkan bahasa Melayu sebagai teras utama pendidikan,” soalnya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan bahasa selain bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan termasuk di fasiliti kesihatan awam.
Menurutnya, asas kontrak sosial yang dipersetujui sebelum kemerdekaan perlu terus dihormati oleh semua rakyat Malaysia bagi memastikan keharmonian dan kestabilan negara dapat dikekalkan.
“Orang Melayu sebagai majoriti di negara ini perlu dihormati dalam menentukan asas pembinaan negara tanpa menafikan hak kaum lain sebagai warganegara Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengulangi sokongan terhadap pendirian NGO Melayu-Islam yang membantah pengiktirafan UEC dan menyatakan komitmen untuk terus bersama mempertahankan sistem pendidikan kebangsaan.
“Pas melalui NGO dan mobilisasi akan memberikan sokongan penuh terhadap gerakan mempertahankan sistem pendidikan kebangsaan yang berlandaskan Perlembagaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















