JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menahan sebuah bas persiaran kerana melanggar syarat permit dengan menjalankan penghantaran penumpang pekerja kilang ke tempat kerja, semalam.
Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin berkata, kegiatan itu dikesan ketika melaksanakan Ops Khas Bas Kilang/Bas Persiaran di sekitar Jalan Persiaran Impian Emas di sini, pukul 8.30 pagi.
“Tindakan bas persiaran menjalankan penghantaran sembilan orang pekerja kilang itu adalah tidak selaras dengan syarat permit bas persiaran yang dikeluarkan.
“Kita menjalankan operasi yang memberi tumpuan khusus kepada tahap pematuhan syarat permit, keselamatan kenderaan serta pematuhan undang-undang jalan raya membabitkan bas kilang dan bas persiaran yang beroperasi di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebuah bas persiaran melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(3) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 iaitu melanggar syarat permit yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Jelasnya, kesalahan itu adalah satu pelanggaran serius kerana setiap permit dikeluarkan mempunyai syarat tertentu yang wajib dipatuhi oleh pengendali dan pemandu bagi memastikan operasi pengangkutan awam selamat, teratur serta mengikut peraturan ditetapkan.
Katanya, berikutan kesalahan yang dikesan, tindakan penahanan kenderaan diambil di bawah Seksyen 80 APAD 2010 oleh JPJ Negeri Johor bagi tujuan dokumentasi, siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Pada masa sama, Zulkarnain menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha atau pemandu kenderaan perkhidmatan awam yang gagal mematuhi syarat permit dan peraturan operasi yang telah ditetapkan.
“Tindakan tegas akan terus dilaksanakan secara konsisten melalui operasi berjadual, risikan serta aduan awam bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan.
“Selain itu, operasi seperti ini juga bertujuan memastikan semua pengendali bas mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan termasuk aspek kelayakan operasi, pematuhan permit serta tahap keselamatan kenderaan sebelum berada di jalan raya,” ujarnya.
Tambahnya, ini sebagai langkah berterusan bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kenderaan perkhidmatan awam di Johor. – MalaysiaGazette
















