Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor mempersoalkan sikap pemimpin DAP Selangor yang didakwa terus membisu ketika institusi diraja Selangor diasak dan dipersoalkan secara terbuka.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Sukri Omar berkata, tindakan berdiam diri itu menimbulkan persoalan sama ada mereka benar-benar menghormati institusi Raja Berperlembagaan atau sekadar selesa menerima darjah kebesaran.

Beliau secara terbuka menamakan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim supaya menyatakan pendirian berhubung isu melibatkan dua pemimpin veteran DAP, Tony Pua dan Ronnie Liu serta ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki.

“(Datuk) Ng Suee Lim tak mahu keluarkan kenyataan mempertahankan Tuanku Sultan Selangor ke? Apa pandangan kamu tentang tindakan ADUN Seri Kembangan? Tony Pua? Ronnie Liu?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Suee Lim menerima darjah kebesaran Darjah Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Disember 2023.

Menurut Sukri, gelaran Datuk bukan sekadar simbol untuk diletakkan di hadapan nama, sebaliknya membawa makna penghormatan dan pengiktirafan daripada institusi diraja negeri.

“(Gelaran) Datuk itu bukan sekadar gelaran untuk ditulis di depan nama tetapi lambang penghormatan dan pengiktirafan daripada institusi diraja negeri.

“Bila institusi yang menganugerahkan darjah kebesaran diasak dan dipersoalkan secara terbuka, sekurang-kurangnya tampilkan pendirian yang jelas dan bermaruah,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan kesetiaan kepada institusi Raja Berperlembagaan sepatutnya dibuktikan ketika institusi itu dipertikai, bukannya sekadar diam demi kepentingan politik.

“Kalau benar hormat kepada Raja Berperlembagaan, inilah waktunya tunjukkan kesetiaan kepada institusi negeri, bukan sekadar diam membisu melihat penghinaan demi penghinaan berlaku.

“Rakyat sedang memerhati. Jangan sampai rakyat melihat ada pihak hanya selesa menerima anugerah, tetapi terlalu sukar mempertahankan kehormatan institusi yang menganugerahkannya,” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew hadir seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi menghayati prinsip Rukun Negara serta memahami kepentingan menghormati Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan.

Sebelum ini, Siew Ki mencetuskan kontroversi ketika membahaskan titah Sultan Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila memohon kerajaan negeri mempertimbangkan sistem penternakan babi moden dan tertutup di Selangor.

Cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Ronnie Liu pula menyarankan supaya memfailkan semakan kehakiman susulan larangan Sultan Selangor terhadap aktiviti penternakan babi di negeri berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast