KUALA LUMPUR – Sebanyak 95 peratus kenderaan kelas satu direkodkan menyumbang peningkatan kesalahan tidak membayar tol di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) terutama di Plaza Tol Gombak dan Bentong bagi tempoh tiga tahun.
Pengurus Besar AFA Prime Berhad, Ismaliza Ibrahim berkata, sepanjang tempoh sejak 2023 hingga 2025, sebanyak 2,122 surat tuntutan (LOD) telah dikeluarkan membabitkan jumlah keseluruhan nilai tuntutan RM21,181.
“Mengikut pecahan tahunan menunjukkan pada tahun 2023, sebanyak 571 LOD (RM6,177.80) direkodkan diikuti 853 LOD (RM8,190.00) pada 2024 dan 698 LOD (RM6,813.20) pada 2025.
“Sebenarnya, data ini menunjukkan kesalahan berulang secara konsisten setiap tahun walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan dan pemantaun dilaksanakan.
“Kita juga telah mengesan pengguna yang melakukan kesalahan kekerapan sehingga 30 kali dan kebanyakkannya adalah kenderaan biasa,” katanya dalam sidang media operasi bersepadu di Plaza Tol Gombak hari ini.

Tambah beliau, pelanggaran yang direkodkan melibatkan tiga kategori utama iaitu tail gating (mengekori rapat kenderaan), melanggar palang tol serta tidak berhenti di laluan manual di plaza tol.
“Kita mengesan kesalahan terbabit menerusi rakaman kamera litar tertutup di setiap pergerakan lorong tol dan majoriti kes melibatkan penggunakan kenderaan persendirian da bukan kenderaan komersial.
“Biarpun jumlah LOD dikeluarkan agak tinggi namun kadar bayaran semula masih rendah iaitu kurang daripada satu peratus, sekaligus menunjukkan tahap pematuhan masih belum memuaskan,” jelasnya.

Jelas beliau lagi, peningkatan kesalahan itu meningkat, tahap kesedaran pengguna masih rendah walaupun notis dikeluarkan malah impak dan tindakan susulan juga masih kurang.
“Hasil pemeriksaan, kebanyakkan kesalahan ini dikesan bukan sahaja ketika musim perayaan tetapi berlaku sepanjang masa dan ia melibatkan lebuhraya KLK dan Lebuh Raya LPT1.
“Kesalahan itu turut dikesan menerusi pelbagai kaedah pemantauan termasuk sistem pengesanan automatik sistem di plaza tol yang merekodkan insiden seperti tailgating dan pelanggaran palang tol,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Ismaliza memaklumkan keperluan untuk memperkukuh aspek penguatkuasaan undang-undang diperlukan bagi memastikan pesalah lebih bertanggungjawab dan tidak mengulangi kesalahan sama.
“Setiap kesalahan yang disabitkan boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM5,000 di bawah Seksyen 8, Akta Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) (Pindaan) 1994,” katanya.
Terdahulu, operasi khas hari ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Ia tertumpu kepada pengesanan pesalah tegar termasuk penggunaan senarai kenderaan yang dikenal pasti melakukan kesalahan berulang.
Untuk rekod, AFA Prime Berhad adalah syarikat konsesi yang menguruskan Lebuh Raya Kuala Lumpur–Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1). – MalaysiaGazette
















