Kompleks Mahkamah Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman denda terhadap syarikat dan seorang pemilik perniagaan masing-masing RM5,000 atas kesalahan menjual dan mempamerkan bahan merokok yang tidak mematuhi syarat ditetapkan.

Kedua-duanya dijatuhi hukuman denda itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Syarikat Johor News Agency didakwa menjual atau mempamerkan untuk jualan pod pakai buang berbentuk permainan atau makanan yang tidak mematuhi syarat perundangan ditetapkan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis Johor News Agency di Jalan Yahya Al-Datar, Bukit Senyum di sini, pukul 5.45 petang, pada 18 Disember 2024.

Mahkamah turut memerintahkan waran melevi dikeluarkan jika syarikat itu gagal menjelaskan denda terbabit.

Dalam kes berasingan, Dua Jing Hong, 38, didakwa atas tuduhan yang sama membabitkan penjualan dan pameran pod pakai buang berbentuk permainan atau makanan di premis Hao Hong Mobile, Jalan Nusaria 1 J/5, Taman Nusantara di Iskandar Puteri, pukul 4.50 petang, 18 Disember 2024.

Lelaki berkenaan diperintahkan untuk dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Syarikat dan pemilik perniagaan itu didakwa di bawah Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dibaca bersama-sama Peraturan 5(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Kawalan Penjualan) dan Peraturan 8(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Pembungkusan dan Pelabelan) 2024.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Nik Mohamad Khairulzaim Nik Nazmi.

JKNJ dalam satu kenyataan berkata, pendakwaan yang dibuat bagi kedua-dua kes itu adalah sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan berterusan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan pematuhan terhadap Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

“Kita mahu memastikan akta ini dipatuhi khususnya membabitkan larangan penjualan produk merokok yang boleh menarik perhatian golongan kanak-kanak dan remaja melalui reka bentuk menyerupai permainan atau makanan.

“KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru akan terus mempergiat aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi kesihatan awam di sekitar kawasan daerah ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast