Tangkap layar video yang tular memaparkan sebuah pikap melanggar seekor anjing dalam operasi penghapusan anjing liar di kawasan Puteri Wangsa, Johor Bahru, minggu lalu.

JOHOR BAHRU – Siasatan kes pekerja kontraktor melanggar seekor anjing hingga mati dalam operasi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk penghapusan anjing liar di Puteri Wangsa di sini minggu lalu, perlu dilakukan secara telus dan bebas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz menegaskan, rakyat terutama penduduk di kawasan tersebut berhak mengetahui hasil siasatan tersebut.

“Prosedur operasi standard (SOP) pengurusan haiwan liar perlu dikongsikan. Sebenarnya ramai orang tak tahu bagaimana pihak berkuasa menguruskan isu ini?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular video yang memaparkan sebuah pikap melanggar seekor anjing dalam operasi penghapusan anjing liar di kawasan Puteri Wangsa minggu lalu.

Insiden tersebut menimbulkan kemarahan netizen dan mahu hukuman dikenakan terhadap individu terlibat.

Amira Aisya berkata, tindkaan menggantung operasi unit yang terlibat dengan keganasan tersebut juga perlu diambil serta-merta.

Jelasnya, pihak yang bertanggungjawab ke atas keganasan itu tidak boleh dibiarkan bertugas sementara siasatan berjalan, manakala dasar pengurusan haiwan liar perlu disemak semula bagi menentukan cara terbaik untuk menguruskan haiwan liar.

“Cara terbaik adalah TNR ataupun Trap, Neuter and Return. Program vaksinasi dan pengambilan haiwan angkat boleh dilakukan selain didik komuniti bagaimana untuk berurusan dengan haiwan liar,” katanya.

Tambahnya yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), bagi menangani masalah berkenaan boleh juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak menguruskan haiwan-haiwan liar.

“Saya minta kerajaan negeri untuk bertindak dengan segera. Keganasan ke atas haiwan liar tidak boleh dijadikan satu perkara yang normal dalam masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata, anjing liar bukan sampah yang boleh dibuat sesuka hati kerana juga adalah makhluk Tuhan yang ada hak dan nyawanya juga perlu dijaga.

“Ini bukan sekadar isu individu semata-mata, tetapi ini isu sistem yang kita perlu betulkan,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast