SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor melakar anjakan paradigma dalam sektor pendidikan apabila meluaskan skop Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2026, yang kini memberi manfaat kepada 143,000 pelajar berbanding hanya sekitar 71,000 pelajar Tingkatan Lima sebelum ini.
Pertambahan drastik itu melibatkan kemasukan 72,000 pelajar Tingkatan 4 sekali gus membuktikan komitmen berterusan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor menerusi Yayasan MBI untuk melakukan intervensi awal demi kecemerlangan akademik anak negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peluasan sasaran ini adalah langkah inklusif bagi memastikan tiada mana-mana pelajar yang tercicir daripada menerima akses pendidikan berkualiti, terutamanya dalam subjek berteraskan STEM.
“Kerajaan Negeri komited memastikan setiap anak Selangor mendapat peluang pendidikan yang adil dan berkualiti tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
“Pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang akan menentukan masa depan negeri dan generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis Peluncuran Program Tuisyen Rakyat Selangor & Program Didik Kasih di sini, hari ini.

Beliau berkata, melalui pertambahan bilangan pelajar yang mencecah 143,000 orang ini, pelaksanaan PTRS kini merangkumi 274 sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Lebih membanggakan, keberkesanan modul PTRS terdahulu terbukti apabila berjaya membantu meningkatkan Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2025 kepada 4.52, berbanding 4.59 pada tahun sebelumnya.
“Kita sentiasa memastikan modul ini dikemas kini untuk seiring dengan perkembangan sukatan pembelajaran semasa dengan dukungan barisan Panel Penasihat Khas.
“Selain itu, bagi memastikan kelancaran, kesemua pelajar yang terlibat juga turut disediakan modul pembelajaran percuma dan makanan tengah hari, selain pemberian elaun khas kepada penyelaras serta guru,” ujarnya.
Katanya lagi, PTRS 2026 akan memfokuskan kepada lapan subjek teras dan kritikal iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Matematik Tambahan, Fizik, dan Kimia.
“Insya-Allah selepas-selepas ini nanti, akan kita tambah kepada mata pelajaran lain mengikut keperluan.
“Kerajaan negeri komited dengan peruntukan sebanyak RM1 juta melalui Belanjawan Selangor 2025 di mana kita menyasarkan murid Tahun 2 hingga Tahun 6 di 661 sekolah rendah bagi intervensi literasi (Bahasa Melayu) dan numerasi (Matematik),” tambahnya lagi.
Majlis sama turut menyaksikan Amirudin menyampaikan Sijil Penghargaan PTRS dan PDK 2026 kepada Panel Penasihat Khas, pasukan petugas (task force), Penyelaras Daerah, serta Penulis Modul PTRS yang menjadi tulang belakang program.
Turut disampaikan adalah Insentif Kecemerlangan SPM 2025 dan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) 2026.
Hadir sama mengiringi beliau ialah Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri, Mohd Najwan Halimi; Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Ts Saipolyazan M Yusop; Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim dan Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad. – MalaysiaGazette
















