PENGERANG – Mahkamah Majistret Pengerang di sini hari ini menjatuhi hukuman denda RM1,500 terhadap warga emas dan suri rumah atas pertuduhan menolong mengalihkan harta milik orang lain ke dalam akaun mereka tahun lalu.
Hakim Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhi hukuman itu kepada Zainudin Md Zin, 61, dan Norlaili Ismail, 55, selepas kedua-duanya mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, Zainudin didapati secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik Muslim Usol berjumlah RM2,977 ke dalam akaun CIMB Bank miliknya pada 17 Februari 2025 pukul 11.15 malam di Felda Nitar 2, Mersing.
Norlaili pula dituduh secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik Nur Ibratul Humairah Salleh berjumlah RM2,300 ke dalam akaun miliknya pada 21 Ogos 2025 pukul 5.55 petang di Felda Tenggaroh 1, Mersing.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan maksimum lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nursyafiq Abd Halim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hilmi Sulaiman Salahuddin.
Hilmi memohon kepada mahkamah mengenakan denda minima memandangkan kedua-dua tertuduh tidak bekerja selain mempunyai tanggungan keluarga, namun Nursyafiq memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal.
Hidayatul Syuhada berkata, mahkamah menegaskan sikap cuai atau alasan ketiadaan pengetahuan tanpa disokong keterangan munasabah bukan faktor metigasi yang boleh diterima mahkamah dengan sewenangnya.
“Mahkamah juga ambil maklum kesalahan ini semakin berleluasa dan membimbangkan masyarakat, justeru Parlimen telah menggubal serta meluluskan undang-undang tegas bagi membendung tindakan sedemikian bagi menjaga kepentingan masyarakat.
“Oleh itu mahkamah tidak boleh mengambil pendekatan terlalu lunak sehingga menjejaskan hasrat jelas penubuhan undang-undang. Oleh itu kamu dihukum denda RM1,500 jika tidak bayar dua bulan penjara,” katanya. – MalaysiaGazette
















