BANTING – 10 ekor lembu ‘sado’ seberat hampir satu tan bakal menjadi tarikan utama Karnival Qurban Tayyib Ranch 2026 di Fidlot Tayyib Ranch, Sungai Kelambu, Banting yang dijangka menarik lebih 1,000 pengunjung sempena Aidiladha tahun ini.
Karnival Qurban terbesar di Malaysia yang berlangsung dari 22 hingga 28 Mei ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai melihat pelbagai baka lembu premium dari dekat, malah membolehkan pengunjung merasai sendiri suasana ibadah korban dalam konsep santai bersama keluarga.

Pengarah Urusan Tayyib Ranch Sdn. Bhd., Mohd Sakhedan Sidek berkata, karnival tersebut julung kali diadakan di pusat operasi milik syarikat itu sendiri selepas hampir lima tahun beroperasi.
“Selain melihat lembu-lembu sado, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti termasuk mini funfair dan interaksi bersama haiwan ternakan.
“Kami turut menyediakan fasiliti lebih selesa kepada pengunjung selain membuka peluang kepada orang ramai melihat sendiri proses korban dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Beliau berkata, Tayyib Ranch turut menawarkan tiga pakej korban bermula RM750, RM850 dan RM950 bagi setiap bahagian untuk memudahkan orang ramai melaksanakan ibadah tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Aptrasco Group merangkap Pengarah Urusan Tayyib Ranch Sdn. Bhd., Lui Sze Chiang berkata, penganjuran karnival itu bertujuan menyemarakkan penghayatan ibadah korban dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau yang juga seorang mualaf, program berkenaan bukan sahaja menjadi platform pelaksanaan ibadah korban, malah mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai latar belakang.
“Kami mahu wujudkan suasana yang lebih dekat dengan masyarakat supaya orang ramai boleh datang bersama keluarga dan rakan-rakan untuk melihat sendiri lembu korban serta menikmati pengalaman berbeza sempena Aidiladha.
“Kita juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk mini funfair dan interaksi bersama lembu-lembu sado,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi menyifatkan karnival tersebut sebagai platform menyatukan masyarakat pelbagai kaum selain membantu merancakkan ekonomi setempat.

Katanya, sambutan Aidiladha dan ibadah korban perlu terus diperkasakan agar menjadi budaya yang diraikan bersama masyarakat.
“Ibadah korban bukan sahaja melibatkan soal agama, tetapi mampu membentuk masyarakat harmoni serta memperkenalkan budaya Islam kepada masyarakat majmuk.
“Karnival seperti ini juga berpotensi membantu perkembangan ekonomi penduduk sekitar,” katanya.
Salah seorang pengunjung, yang lebih dikenali sebagai Sidek, 70, mengakui teruja melihat sendiri lembu-lembu sado yang dipamerkan kerana jarang berpeluang melihat haiwan bersaiz besar itu secara dekat.

“Biasanya saya tengok lembu biasa sahaja, tapi kali ini dapat lihat lembu sado depan mata memang mengejutkan dan menyeronokkan,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Siti Syahirah Sidek, 34, berkata dia membawa keluarganya ke karnival tersebut bagi memberi pengalaman baharu kepada anak-anak sepanjang cuti sekolah.
“Bukan selalu dapat tengok pelbagai jenis lembu besar di satu tempat. Anak-anak pun seronok sebab banyak aktiviti menarik disediakan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Suratmay, 70, berkata, orang ramai wajar mengambil peluang mengunjungi karnival tersebut untuk menyaksikan sendiri suasana ibadah korban serta proses pengagihan daging kepada masyarakat.
“Karnival memang meriah dan menyeronokkan.
“Saya alu-alukan orang ramai, sama ada yang tinggal berdekatan atau dari luar kawasan, supaya datang memeriahkan karnival ini,” katanya. – MalaysiaGazette

ADA APA DI KARNIVAL QURBAN 2026 TERBESAR DI MALAYSIA?
Karnival Qurban 2026 Meriahkan Banting Selama Enam Hari
Lembu Sado RM40,000 #RayaKorban
















