Pengarah Hydroshoppe Sdn. Bhd., Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto arkib, 05 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Keputusan permohonan Hydroshoppe Sdn Bhd dan pengarahnya agar perbicaraan kes suapan RM500,000 berhubung pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi akan ditentukan Selasa ini.

Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 52, dan Hydroshoppe selaku pemohon, masing-masing memfailkan notis usul pada 1 April lalu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Keputusan itu dijadual disampaikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md. Nurdin.

Kes itu berkaitan penawaran suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun, bagi faedah Tan Sri Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.

Hari yang sama, Mahkamah Sesyen menetapkan sebutan kes tersebut di hadapan Hakim Suzana Husin bagi memaklumkan perkembangan permohonan tersebut.

Pada 15 Mei lalu, Hakim Noor Ruwena mendengar penghujahan peguam Datuk Amer Hamzah Arshad mewakili pemohon dan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan mewakili responden.

Amer Hamzah berhujah, pertuduhan membabitkan dua entiti berasingan iaiti terhadap Abdul Hamid Shaikh sebagai individu mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan satu lagi terhadap syarikat tersebut di bawah Seksyen 17A(1)(a) akta yang sama.

“Walaupun berasingan, kedua-duanya adalah berdasarkan dakwaan yang sama, menimbulkan kebimbangan berkaitan pertuduhan terhadap diri sendiri dan potensi bahaya berganda.

“Isu yang dibangkitkan adalah rumit dan penting sehingga memerlukan penentuan oleh Mahkamah Tinggi,” katanya.

Peguam itu menambah bahawa pertuduhan dalam kedua-dua prosiding itu menimbulkan persoalan undang-undang yang rumit, khususnya mengenai pelanggaran Perkara 5, 7, dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Farah Ezlin bagaimanapun berhujah bahawa bahaya berganda tidak timbul kerana pertuduhan membabitkan pihak berbeza.

Hujah beliau, ia melibatkan Seksyen 16 Akta SPRM 2009 yang dipertuduhkan terhadap Abdul Hamid Shaikh sebagai individu manakala Seksyen 17A Akta yang sama ditujukan kepada Hydroshoppe sebagai sebuah syarikat.

“Kesalahan itu mungkin bertindih dari segi fakta, tetapi ia tidak bertindih di sisi undang-undang. Setiap peruntukan memerlukan bukti yang tidak dilakukan oleh satu lagi.

“Bahaya berganda hanya di mana tertuduh dibicarakan dua kali atas kesalahan yang sama di sisi undang-undang. Ia bukan terlibat semata-mata kerana dua kesalahan timbul daripada transaksi yang sama.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh perbicaraan pada 5 Jun, 20 hingga 22 Julai, 28 Ogos, 5 hingga 7 Oktober dan 19 hingga 21 Oktober, serta 1 hingga 4 Disember ini.

Pada 5 April 2023, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan itu menerusi Datuk Tan Ser Lay sebagai dorongan kepada Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, untuk mempercepat proses pengambilalihan pengurusan serta pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai hingga Ogos 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Hydroshoppe turut berdepan pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh, iaitu menawarkan suapan kepada Ser Lay bagi faedah Annuar dengan niat sama di lokasi dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast