KOTA TINGGI – Seorang pengarah syarikat rugi RM167,050 selepas diperdaya satu sindiket pinjaman tidak wujud akibat tertarik iklan dalam Facebook.
Ketua Polis Daerah Kota Tingi, Superintendan Yusof Othman berkata, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun membuat laporan polis semalam mendakwa diperdaya sindiket tersebut.
“Semuanya bermula pada 21 Mei lalu apabila mangsa terlihat iklan berkaitan pinjaman peribadi yang dipercayai daripada sebuah bank.
“Mangsa diminta membuat beberapa pembayaran sebagai syarat pinjaman dan kelulusan pinjaman.
“Mangsa kemudiannya telah membuat penambahan pembayaran secara berperingkat-peringkat dengan melakukan sembilan transaksi pemindahan wang ke dalam sembilan akaun penerima berasingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan transaksi berkenaan mencecah RM167,050 bagi mendapatkan pinjaman yang sudah dipersetujui berjumlah RM500,000.
Menurut beliau, mangsa kemudian menyedari dirinya ditipu apabila tidak menerima wang pinjaman seperti yang dijanjikan.
Katanya, polis menjalankan siasatan lanjut bagi kes berkenaan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, Yusof menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati terhadap sebarang pinjaman yang tidak sah serta pinjaman dalam talian yang menjanjikan syarat kelulusan pantas.
Orang ramai ujar beliau, boleh mendapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersial terkini dengan mengikuti laman sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
Orang ramai juga diseru untuk menyemak nombor akaun sebelum melakukan sebarang transaksi kepada orang tidak dikenali melalui perkhidmatan Semak Mule yang tersedia dalam talian serta memuat turun aplikasi Whoscall bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.
“Sekiranya menjadi mangsa penipuan, mangsa boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran wang keluar dari akaun suspek,” katanya.- MalaysiaGazette
















