KUALA LUMPUR – Hubungan diplomatik antara Malaysia dan India dijangka terus diperkukuh menerusi kerjasama strategik yang semakin berkembang antara kedua-dua negara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuan beliau bersama Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B. N. Reddy yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya di negara ini.
Menurut beliau, Malaysia merakamkan penghargaan terhadap peranan besar dimainkan diplomat berkenaan dalam memperkukuh hubungan dua hala sepanjang berada di negara ini.
“Saya menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, TYT B.N. Reddy, yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatan diplomatik beliau di negara ini.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen dan peranan besar beliau dalam memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama strategik antara Malaysia dan India sepanjang tempoh perkhidmatannya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ramanan berkata, pertemuan tersebut turut membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama masa depan antara Malaysia dan India selaras kedudukan kedua-dua negara sebagai rakan strategik komprehensif.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, B.N. Reddy bukan sahaja memainkan peranan penting dalam mengeratkan kerjasama dua hala, malah turut membina hubungan persahabatan yang penuh hormat dan kepercayaan antara kedua-dua negara.
“Malaysia kekal komited untuk terus memperluas hubungan dua hala yang kukuh ini demi manfaat bersama, kemajuan ekonomi serantau serta masa depan yang lebih inklusif dan mampan buat rakyat kedua-dua negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















