MELAKA – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun cedera selepas disyaki mengelar lehernya sendiri di rumahnya di sekitar Banda Hilir di sini semalam.
Menurut sumber, mangsa bagaimanapun terselamat apabila sempat dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, remaja berusia 14 tahun itu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Mangsa menerima rawatan di Hospital Melaka semalam selepas disyaki mencederakan diri menggunakan objek tajam, namun keadaannya hari ini dilaporkan stabil.
“Pasukan perubatan hospital sedang menjalankan pemantauan rapi selain memberikan rawatan lanjut kepada remaja terbabit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahya, aspek sokongan emosi dan psikososial turut diberi perhatian dalam pengurusan kes berkenaan bagi membantu keadaan mental serta emosi mangsa.
“Identiti mangsa juga tidak didedahkan bagi melindungi privasi pesakit yang masih bawah umur,” katanya. – MalaysiaGazette















