Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang individu daripada pertuduhan menipu melibatkan pembayaran lebih RM25,000 berkaitan urusan pemindahan saham sebuah syarikat, kira-kira 14 tahun lalu.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa bersama seorang lagi telah memperdayakan seorang lelaki, Abdul Razak A.S. Dawood, antara Disember 2011 hingga Disember 2012 di pejabat P.A. Abdul Wahab & Co Sdn Bhd di Leboh Ampang, Dang Wangi di sini ketika itu.

Mengikut fakta kes, mangsa didakwa dimaklumkan saham syarikat berkenaan akan dipindahkan kepadanya sekiranya hutang syarikat dengan Affin Bank Berhad berjumlah RM25,641.14 dijelaskan.

Pendakwaan mendakwa mangsa membuat pembayaran tersebut kerana mempercayai representasi yang diberikan tertuduh.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, selepas meneliti keseluruhan keterangan saksi pendakwaan, mahkamah memutuskan tiada bukti mencukupi untuk memanggil tertuduh membela diri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhanah Arul Hisham manakala tertuduh diwakili peguam Preakas Sampunathan bersama Navindren dan Rishyan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast