JOHOR BAHRU – Tiga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan pinjaman dan pekerjaan tidak wujud.
Raihan Nor Azali, 25; Mohamad Zuhri Zulfikri Mohd Zainon, 27, dan Mamor Bulat, 59, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Mohamad Zuhri Zulfikri dan Mamor yang merupakan pekerja swasta masing-masing didenda RM2,500 manakala Raihan yang tidak bekerja didenda RM2,000 dan kesemua mereka membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didapati secara tidak langsung menggunakan akaun bank dan akaun pembayaran digital masing-masing berjumlah RM1,525.70; RM720 dan RM540 bagi satu transaksi tanpa tujuan yang sah.
Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Scientex, Bandar Layangkasa dan Jalan Timah 1 Perindustrian Pasir Gudang di Pasir Gudang di sini antara 19 Jun hingga 28 Ogos tahun lalu.
Kesemua mereka didakwa Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan yang boleh didenda sehingga RM150,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang wanita Nurul Najeeha Ismail, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Pekerja swasta itu didakwa secara tidak langsung menggunakan akaun miliknya di sebuah institusi kewangan bagi suatu transaksi berjumlah RM12,449.78 tanpa maksud yang sah.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu Jalan Sentosa 11, Taman Nusa Damai, Pasir Gudang di sini pada 19 April tahun lalu turut didakwa di bawah seksyen sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Afdhallan Syafiq Azmi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.- MalaysiaGazette
















