PUTRAJAYA – Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) bersama Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) sekali lagi berganding bahu menjayakan program Qurban Media 2.0 sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Program yang memasuki penganjuran kali kedua itu dilihat menjadi platform mengeratkan hubungan dalam kalangan pengamal media selain menyantuni komuniti setempat menerusi ibadah korban.
Menurut kenyataan GKMM, program kali ini diperluaskan ke enam negeri membabitkan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.
“Kolaborasi antara Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO dan GKMM merupakan penganjuran kali kedua selepas pertama kali diadakan sempena Aidiladha pada tahun lalu.
“Pada tahun ini, ibadah korban dilaksanakan di enam lagi negeri iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan serta Pahang,” menurut kenyataan itu hari ini.

Program tersebut turut melibatkan penyertaan beberapa organisasi media negeri termasuk Kelab Media Johor (KMJ), Kelab Media Putrajaya (KMP), Kelab Wartawan Kuala Lumpur dan Selangor (KamiKLS), Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS), Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Kelab Media Elit Kedah (KMEK) serta Pahang Press.
Dalam pada itu, KamiKLS bersama Surau Al-Istiqlal Presint 14, Putrajaya turut menyatakan komitmen menyokong dan menjayakan program berkenaan sebagai sebahagian usaha menyantuni masyarakat menerusi ibadah korban.
“Penyertaan KamiKLS adalah sebahagian daripada usaha menyantuni masyarakat melalui ibadah korban yang dilaksanakan serentak di tujuh negeri oleh persatuan media seluruh negara.
“Program ini bukan sekadar tradisi Aidiladha, tetapi simbol kebersamaan, ukhwah dan komitmen warga media dalam menyumbang kepada komuniti setempat,” menurut kenyataan itu.
GKMM berkata, program tersebut dianjurkan bagi mengimarahkan sambutan Aidiladha selain memperkukuhkan hubungan antara pengamal media dan masyarakat setempat menerusi semangat kebersamaan dan nilai ihsan.
“GKMM mengucapkan berbanyak terima kasih khususnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri di atas sumbangan serta inisiatif kolaborasi bagi tujuan menjayakan program korban pada tahun ini,” katanya.
Menurut GKMM, program itu bukan sahaja menghidupkan tradisi Aidiladha, malah menjadi medium memperkukuh budaya membantu golongan memerlukan selaras prinsip Malaysia Madani.
“Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan. Semoga manfaatnya terus dirasai dan semangat ihsan ini berkekalan,” menurut kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette
















