MELAKA – Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah memukul isterinya kerana enggan memberinya wang untuk membeli dadah, Ahad lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membuat keputusan itu selepas tertuduh, Faizzul Ridwan Ab Rahman, 36, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya berusia 41 tahun di sebuah rumah di Kampung Paya Rumput, dalam daerah Melaka Tengah di sini kira-kira jam 8 pagi 24 Mei lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya manakala Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan ke atas sabitan mengikut Seksyen 323.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah meminta wang daripada isterinya untuk membeli dadah namun ditolak kerana pengadu tidak mempunyai wang.
Tertuduh kemudian telah menggunakan telefon isterinya itu untuk menghubungi ibu dan adik kandungnya untuk meminjam wang namun tidak dilayan keluarganya itu yang mematikan panggilan.
Sebelum itu, tertuduh telah menendang isterinya di bahagian paha kerana wanita itu enggan bercakap dengan ibunya untuk meminjamkan wang selain memaksa pengadu keluar mencari duit sebanyak RM100 untuknya membeli dadah.
Tertuduh turut mengarahkan isterinya itu membayar denda RM1,000 bagi kes dadah dihadapinya yang masih dalam perbicaraan selain mengugut mahu membakar motosikalnya jika enggan berbuat demikian.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani mencadangkan hukuman berat kerana tertuduh sebagai suami sepatutnya menjadi pelindung, bukannya menyakiti isterinya itu.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek bagaimanapun merayu tertuduh dikenakan hukuman ringan dengan alasan hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan berpendapatan RM1,800 sebulan.
Tetuduh juga katanya perlu menanggung dua anak dan mengakui kesilapan serta berjanji akan bertindak lebih waras selepas ini.
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Sharda Shienha kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dari tarikh ditangkap pada 24 Mei lalu. – MalaysiaGazette
















