Mohd Akbal Setia b

MUAR – Tourism Malaysia terus giat mempromosi produk pelancongan berkonsepkan kampung di inap desa sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan kebudayaan.

Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan dan Digital Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia berkata, ini termasuk pengalaman yang akan melibatkan beberapa perayaan utama seperti sambutan Hari Raya Aidiladha.

Jelasnya, ini selaras dengan tema Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) iaitu ‘Surreal Experiences’ atau pengalaman luar biasa program yang dirangka menekankan kekuatan Malaysia terhadap tradisi budaya dan kehidupan bermasyarakat.

“Pada Fam Trip yang dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha tahun ini di Homestay Sarang Buaya di sini, pelbagai pengalaman dalam perayaan berkenaan dinikmati.

“Para peserta dapat melibatkan diri secara langsung untuk mengetahui dengan lebih mendalam terhadap adat dan nilai tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa Program Pakej Promosi Sempena Perayaan Eid al-Adha, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang Selamat Takim dan Pengerusi Homestay Sarang Buaya, Mohamed Khairy Abu.

Mohd Akbal berkata, program hari ini Fam Trip melibatkan tujuh ejen pelancongan daripada Singapura dan lima wakil media antarabangsa serta tempatan.

Menurutnya, ini sebagai usaha promosi berterusan selain menyaksikan kerjasama daripada pemilik inap desa juga Pusat Pelancongan Islam (ITC) dalam menyokong pengalaman pelancongan mesra muslim kepada pelawat termasuk dari Singapura.

“Antara aktiviti menarik termasuk demonstrasi memotong daging (melapah daging) sebagai sebahagian daripada ibadah qurban, penyediaan makanan secara gotong-royong (merewang), serta aktiviti kampung dan peluang pertukaran budaya dengan komuniti setempat,” katanya.

Menurut Mohd Akbal, sehingga Mac 2026 Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) terus berkembang dengan 250 kluster ditubuhkan dan hampir 600 kampung terlibat serta 3,500 ejen pelancongan berdaftar.

Selain itu katanya, sehingga kini sudah menerima 160,390 pelawat antarabangsa serta 15,986 pelancong tempatan sekali gus menjana pendapatan sehingga RM12.93 juta.

Beliau berkata, bagi 2025 jumlah pelancong pada keseluruhannya melibatkan seramai 42 juta berkunjung ke negara ini dengan 21.1 juta daripadanya dari Singapura, selain sasaran  pada tahun ini adalah 47 juta pelancong keseluruhannya.

“Tourism Malaysia akan terus memperkukuh usaha promosinya dengan memfokuskan kepada segmen nilai tinggi, termasuk pelancongan mesra Muslim, pelancongan kebudayaan dan pengalaman, serta pelancongan berasaskan komuniti, dengan sokongan daripada agensi dan rakan strategik.

“Dalam masa yang sama perkembangan positif ini menekankan kepentingan berterusan Singapura sebagai pasaran sumber utama dalam menyokong industri pelancongan Malaysia terutamanya bagi pasaran khusus mesra Muslim,” katanya yang turut memberitahu sehingga April lepas, seramai 14 juta pelancong Singapura.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast