JOHOR BAHRU – Suasana program ibadah korban di Kampung Tenang, Sungai Tiram di sini kecoh apabila seekor kerbau tiba-tiba ‘naik minyak’ dan menyerang orang ramai.
Kerbau berkenaan yang terlepas daripada tali dipegang kemudian mengamuk dan orang ramai bertempiaran lari sebelum menanduk seorang lelaki.
Lelaki berkenaan disondol kerbau hitam tersebut hingga menyebabkannya terangkat sebelum terjatuh ke tanah.
Mangsa kemudian dilihat sempat bangun selepas ditanduk namun difahamkan mengalami cedera parah akibat kejadian itu.
Difahamkan, mangsa kemudiannya dibawa ke hospital berhampiran bagi menerima rawatan lanjut.
Video berdurasi kira-kira 40 saat itu tular dalam sebuah Facebook dan pada mulanya kejadian didakwa berlaku di Felda Tenang, Segamat
Bagaimanapun pentadbir Facebook berkenaan membetulkannya dan memaklumkan kejadian berlaku di Kampung Tenang, Sungai Tiram di sini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Mohd Jumazan Zahir Chek Ismail hari ini turut menafikan kejadian tersebut berlaku di Felda Tenang, Segamat.
Susulan video tular itu, rakan mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Shah menafikan mangsa meninggal dunia akibat kejadian berkenaan.
“Mangsa cuma mengalami patah rusuk kiri dan sekarang ada dirawat di hospital. Mangsa adalah kenalan saya semasa kecil dan mangsa masih dalam keadaan stabil dan tidak meninggal dunia seperti yang dimaklumkan.
“Terima kasih…Berhati-hati kepada semua yang mengerjakan ibadah korban pada hari raya korban ini,” katanya di ruangan komen video berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian berkenaan.- MalaysiaGazette
















